Friday, February 12, 2016

Rabiatul Adawiyah : Perindu Cinta Abadi


Assalamualaikum.

Namanya Rabiah Al-Adawiy. Ayahnya bernama Ismail Al-Adawiy, seorang yang kuat beribadat. Beliau dinamakan Rabiah kerana beliau merupakan anak keempat.

Rabiatul Adawiyah adalah wanita yang diangkat tarafnya menjadi wali. Punyai suara yang merdu dan wajah yang ayu, namun cinta hatinya tidak mampu dimiliki lelaki. Biarpun ulama terbilang yang datang meminang, biarpun Sultan negara yang datang merisik. Rabiatul Adawiyah kekal sendiri kerana cinta hatinya untukNya.

Kisahnya bermula dengan lahirnya sebagai anak keempat dalam keluarga yang miskin. Beliau dinamakan Rabiah yang bermakna nombor empat. Beliau diuji dengan kematian ayah dan ibunya pada saat beliau masih muda. Tidak cukup itu, beliau diculik pula lalu menjadi hamba.

Tidak sedikit pun Rabiah kesal. Untuknya, Allah tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Tiada sebaik-baik pelindung selain Allah dan tiada tempat sebaik-baik mengadu selain Allah. Sampai akhir hayatnya, Rabiah hanya tersenyum pada saat malaikat maut sudah hampir ke arahnya, kerana beliau sudah terlalu rindu pada Kekasih hatinya.

Semasa Rabiah masih bayi, pada suatu malam, selesai bertadarus, Ismail terus terlena. Namun malam itu adalah lain daripada malam-malam sebelumnya. Ismail bermimpi sesuatu yang membuatkan dia sangat bahagia. Hal ini disedari oleh isteri Ismail pada keesokan harinya.

Namun isterinya tidak bertanyakan soalan walaupun hatinya begitu teringin sangat mengetahui apa yang sedang berlaku kepada suaminya. Dia hanya berharap suaminya mahu berkongsi dan menceritakan perkara itu kepadanya.

Ismail yang menyedari tingkah laku isterinya itu kemudian merapati isterinya dan berkata, "Isteriku, abang sangat senang hati hari ini."

Isteri Ismail tersenyum lantas membalas, "Saya boleh melihatnya daripada seri wajah abang. Saya turut gembra melihat abang senang hati. Bolehkah saya tahu apa sebabnya?"

Ismail merenung tepat wajah isterinya, kemudian dia menjatuhkan pandangannya ke lantai rumah dan berkata, "Abang didatangi oleh seorang tetamu yang sangat istimewa dan dia juga membawa khabar yang sangat menggembirakan kita."

Isteri Ismail teruja, namun dia hairan dengan kenyataan suaminya itu lalu mempersoalkan, "Bilakah masanya tetamu abang itu hadir di rumah kita sedangkan saya lihat abang terus tertidur sejurus selesai bertilawah semalam?"

"Tetamu itu hadir dalam mimpiku."

"Siapakah gerangan orang yang istimewa itu?"

"Beliau ialah Nabi Muhammad."

Isteri Ismail terkejut lantas menumpukan sepenuh perhatian pada perbicaraan suaminya. Anak bongsu mereka pula sedang dijaga oleh kakak-kakaknya.

"Apakah benar bicara abang?"

"Benar isteriku, Rasulullah datang dengan rupa yang sangat indah bak rembulan purnama. Pakaiannya pula sangat bersih. Abang berasa sangat bahagia di saat kami bertentang mata. Seakan tidak mahu berpisah dengannya. Rasulullah juga menyampaikan beberapa pesanan kepada abang."

"Subhanallah, saya turut bergembira mendengarnya. Khabarkanlah pesanan Rasulullah itu, saya tidak sabar mendengarnya."

"Pertamanya, Rasulullah berpesan berkenaan anak kita, Rabiah."

Isteri Ismail tercengang. "Mengapa dengan anak kita, Rabiah?"

"Rasulullah berpesan kepada kita supaya jangan bersedih dengan kesusahan yang kita sangka bertambah dengan kelahiran Rabiah. Ini kerana Rabiah kelak akan menjadi seorang wanita terhormat dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan RasulNya. Malah Rasulullah juga mengkhabarkan yang umat beliau berjumpah 70 000 orang memerlukan syafaat daripada Rabiah di akhirat kelak."

"Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang mengaturkan segalanya. Dalam sedikit ujian, ternyata terhurai sejuta rahmat. Sepatutnya kita bersyukur kepada Allah."

Ismail mengangguk setuju. "Benar isteriku, namun yang agak merunsingkan saya adalah pesanan Rasulullah yang kedua itu"

"Apakah pesanan itu? Luahkanlah, nescaya abang tidak keseorangan sekiranya memerlukan khidmat saya."

"Saya diarahkan bagi menghadap penguasa Basrah, Sultan Isa Bajan."

Isteri Ismail mengetap bibir dan mukanya berkerut. "Apakah tujuannya?"

Ismail menjelaskan lagi, "Namun sebelum itu, Rasulullah meminta saya  menulis sepucuk surat bagi menceritakan apa yang berlaku kepada diriku semalam."

"Ayuh, kita laksanakan. Sekiranya ini adalah amanat daripada Rasulullah sendiri, pastinya ia kebaikan daripada Allah. Jangan khuatir suamiku, yakinlah yang anak kita itu sememangnya insan terpilih. Saya sudah merasainya sejak dahulu lagi kerana Rabiah amat senang dikandungkan dan tidak mendatangkan sebarang sakit semasa saya melahirkannya."


----- Petikan daripada novel sejarah srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah tulisan Zahiruddin Zabidi.

psssttt : dapatkan di pasaran cepat!! Hanya RM 24/SM , RM 27/SS  murah murah!!! 


waaa dah boleh jadi ejen nampaknya :P

1 comment:

  1. Tiba tiba teringat dalam Looking For Alaska kot, by John Green, ada mention pasal Rabiatul Adawiyah. Tak taw pon mmg dari bayi lagi dah ada tanda tanda wali kat Rabiatul Adawiyah ni.

    // afifahaddnan

    ReplyDelete